♥ Demi Sebuah Iman ♥







Ada seorang hamba Allah, si Fulan namanya. Dulu dia jahil dan banyak tak tahu tentang hukum hakam dalam Islam, yakni agamanya. Kemudian dia diberi hidayah dan taufik untuk belajar menimba ilmu agama. Sedikit demi sedikit dia ambil ilmu Isla...m. Sedikit demi sedikit dia berubah dan berhijrah ke arah yang lebih baik. Daripada tak pernah solat, dia solat cukup 5 waktu setelah beberapa minggu berusaha untuk mencukupkannya. Ya perasaan berhijrah itu amat manis dan rasanya tak dapat terungkap oleh kata-kata bila mengsyukuri nikmat Allah.

Hidupnya berubah, dunianya berubah, sekelilingnya berubah. Dia cuba menjaga dirinya dari lalai oleh dunia. Banyak aktiviti di dunianya dahulu disekat dirinya sendiiri kerana takut akan kembali terjerumus ke lembah maksiat. Kawan-kawannya ramai melihat perubahannya, dari segi sikap, perkataan, perbuatan atau zahirnya. Setiap hari dia tak pernah jemu mencari walau sedikit ilmu agama. Mulutnya dilatih supaya menyebut Allah, Allahuakbar, Subhanallah, Alhamdulillah serta beberapa ayat zikir dan bacaan Al-Quran supaya tidak lagi mengucapkan perkataan yang sia-sia.

Matanya dijaga supaya tidak lagi memandang yang haram. Di dunia serba moden ini, banyak sungguh dugaan mata dan hati. Ramainya wanita berbogel walau berpakaian di jalanan membuatkan dia terpaksa jalan tunduk melihat tar-tar jalan raya sahaja sambil sesekali melihat ke hadapan. Telinganya cuba dijaga dari mendengar lagu-lagu yang melalaikan dan kata-kata kesat serta lucah yang diucapkan kawan-kawannya yang masih lagi terbuai di arus dunia moden. Jika boleh segala perbuatannya hendak dijaga dan disekat dari melakukan kesalahan. Ia usaha yang amat sukar, tapi sangat berharga.

Apabila dalam hatinya disematkan Allah dan Islam, cintanya pada dunia makin luput. Walaupun dia seorang graduan universiti dan masih sedang mencari pekerjaan, dia tidak risaukan langsung tentang rezekinya kerana dia yakin Allah ada bersamanya memberi rezeki. Bukan terlalu memilih dan bukan mengada-ngada, cuma dia rasakan hatinya dan dirinya perlu dijaga sebaik mungkin dari arus keduniaan ini. Dia sangat takut untuk bekerja di dunia luar yang penuh dengan segala kelalaian. Dia terlalu cintakan iman yang diperolehi, lalu dia tekad untuk memilih kerjaya dan tempat kerja.

Dalam pemikirannya dia ingin bekerja di masjid, tak kira gajinya sedikit pun dia sanggup. Itu pilihan pertamanya kerana dia akan rasa sejuk hati apabila sentiasa berada di dalam rumah Allah dan dia akan bekerja dalam suasana yang tiada ‘wanita berbogel’ yang dapat merosakkan mata dan hatinya. Jika dia diterima sebagai pembersih masjid pun dia sanggup kerana dia tahu setiap kotoran yang dibersihkan pada masjid itu Allah akan balas dengan ganjaran hebat di syurga. Dia memang ingin sentiasa dekat dengan Allah walau dalam pekerjaannya. Di samping itu dia boleh solat secara berjemaah dan mendapatkan ilmu agama yang banyak dari situ.

Terdetik dalam hatinya untuk bekerja di jabatan agama atau majlis agama yang ada dalam negara ini. Itu pilihan keduanya. Kali terakhir dia pergi ke jabatan agama untuk memohon kerja, dia lihat suasana di sana sangat menyejukkan hatinya, para pekerja lelaki dan wanita semuanya menutup aurat dengan baik. Jadi tiada sangat godaan dari golongan bukan mahramnya. Tapi apa yang menyedihkannya, dia tak pernah ada walau segulung diploma atau ijazah dalam bidang agama yang dicintainya. Memikirkan tentang menyambung pelajaran dalam bidang agama untuk melayakkan dirinya bekerja di tempat sebegini, dia tidak mahu lagi berhutang, cukuplah dengan apa yang ditanggung kini.

Umurnya kian lanjut dan dia masih belum berkahwin. Sepatutnya dalam umur dia yang sekarang, dia sudah patut bekerjaya dan berkahwin. Tapi dia terima semua ini sebagai satu ketentuan dari Tuhan. Ramai kawan-kawan dan sahabatnya sudah menjejakkan kaki ke alam perkahwinan dan ada juga telah mempunyai zuriat, namun dia hanya pasrah menanti ketentuan Tuhan. Dia sebenarnya ingin sangat berkahwin kerana dia hendak menjaga kemaluannya, matanya, hatinya, dari godaan sang hawa dan nafsu. Selain itu dia ingin meningkatkan iman kepada Allah dengan berkahwin, yakni memenuhi sunnah Rasulullah dan dia dapat membuat apa-apa perkara bersama isteri dan pastinya pahala milik mereka yang berkasih sayang sambil mengamalkan ajaran Islam.

Dia tak kisah jika isterinya tak pandai agama atau perlukan bimbingan kerana dia sendiri dahulu seorang yang lalai. Dalam dirinya tersemat satu impian ingin mendidik isterinya dan menjaganya dengan baik seperti amanah yang akan diberi oleh bakal bapa mertuanya. Impiannya hanya satu, ingin hidup bersama dengan isterinya di dunia dan akhirat kekal di dalam syurga selamanya. Dia ingin didik dan jadikan isterinya wanita solehah dan dia ingin redha terhadap isterinya yang diajar tentang Islam yang indah. Semuanya hanya impiannya yang amat tinggi dan ikhlas. Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala isi hatinya.

Kini, dia hidup dalam dunianya yang sepi dari manusia, mengurung diri dalam rumah dan amat jarang sekali untuk keluar bersosial bersama rakan-rakannya. Dia ingin menjaga nikmat iman dan islam yang diberi. Walau ibu bapanya kadangkala ‘bising’ kerana faktor usianya yang perlu keluar mencari pekerjaan untuk hidup di masa hadapan, dia masih tetap membisu. Dia meluahkan isi hatinya tentang agama Allah dalam dunia mayanya, berkongsi ilmu dan pahala bersama orang lain. Dalam hatinya dia bersedih atas apa yang ditimpa padanya, tapi apabila dia ingat Allah dan bersujud padaNya, keresahan dalam hatinya hilang dan dia menjadi syukur. Katanya, “Wahai hati, janganlah bersedih, sesungguhnya Allah bersama-sama kita”.
FACEBOOK COMMENT!